Doaku Senjataku

Assalamualaikum wbr....
Masa demi masa berlalu, hari demi hari berganti, bulan demi bulan beredar, tahun demi tahun silih berganti... hari ini kuhadir kembali di ruangan kesayanganku ini untuk kembali jari-jari lincahku menyusun kata mengolah bicara untuk kujadikan semangat jitu dalam meraih cit-cita dan impianku yang masih jauh nun dihujung sana...
Kumengorak langkah demi langkah berpandukan jalan bersuluh terang, semoga impian dan cita-cita suciku ini akan dimakbulkan Allah Rabbul Izzati akhirnya.
Kupanjatkan syukur ke hadratMu Sang Pencipta yang memiliki seluruh makhluk dan alam ini, keranaMu aku hadir di sini.....mencari dan terus mencari ruang-ruang buatku menggapai cita-cita dan impian ini. Ya Allah ya Tuhanku, Engkau jualah yang telah mengurniakan aku kedua ibu bapa yang sangat aku banggakan, aku perlukan, aku sayangkan sedalam-dalam kasih sayang yang Engkau ciptakan. Syukur kepadaMu ya Allah...kau kurniakan adik-adikku yang sangat aku sayangi, guru-guruku yang sangat aku kagumi dan hormati, seluruh ahli keluargaku yang sangat aku kasihi. Semua ini adalah segunung perangsang yang selalu membakar semangatku, untuk aku meraih dan menggapai impian dan cita-citaku yang satu ini.
Ya Ilahi...Anta Maqsudi wa Ridhoka Matlubi....Kabulkan doaku ini Ya Allah yang Maha Pengasih, Yang Maha Penyayang, Yang Maha Berkuasa, Yang Maha Pencipta, Yang Maha Agung....HambaMu yang amat kerdil ini menadah tangan memohon ke hadratMu, Engkau jadikanlah diriku dan adik-adikku ini sebagai makhlukMu yang cemerlang di dunia dan juga di akhirat, Engkau jadikan keluargaku ini keluarga yang bahagia, mawaddah warahmah fiddunnia wal akhirah. Amin, amin, ya Rabbal 'alamin.


Doa memohon kejayaan di dalam peperiksaan

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.Segala puji-pujianbagi Allah. Tuhan seru sekalian alam, selawat dan salam ke atas semulia-mulia para nabi dan para rasul Sayyidina Muhammad dan ke atas ahli keluarga baginda dan para sahabat sekalian.


Ya Allah, ya Tuhan kami, rahmatilah ke atas penghulu kami nabi Muhammad suatu rahmat yang Engkau lepaskan kami dengannya dari segala kesusahan dan kebinasaan dan yang Engkau tunaikan bagi kami dengannya segala hajat, dan yang Engkau sucikan kami dengannya dari segala kejahatan dan yang Engkau angkat kami dengannya di sisi-Mu pada setinggi-tinggi darjat, dan yang Engkau sampaikan kami dengannya sejauh-jauh tujuan segala kebajikan semasa hidup dan sesudah mati. Dan juga selawat ke atas keluarga dan sahabat baginda dan anugerahkanlah mereka salam sejahtera yang banyak dengan rahmat-Mu wahai Tuhan Yang Maha Mengasihani.


Ya Allah, jadikanlah anak-anak dan penuntut-penuntut kami dari golongan orang-orang yang berjaya dan orang-orang yang mendapat kemenangan di dalam pembelajaran dan peperiksaan, dan jadikanlah mereka dari golongan hamba-hambaMu yang soleh.


Ya Allah, jadikanlah kami dan mereka dari golongan orang yang berilmu dan orang yang membuat kebaikan, dan janganlah Engkau jadikan kami dan mereka daripada golongan orang yang jahat dan orang yang membuat kerosakan.


Ya Allah bukakanlah hati mereka sebagaimana terbukanya hati orang-orang yang arif bijaksana , dan kurniakanlah kepada mereka kepada mereka kefahaman di dalam agama, dan ajarkanlah kepada mereka perkara ta'wil dan tunjukkanlah mereka ke jalan yang benar dan kurniakanlah kepada mereka kefahaman para nabi , hafalan para rasul, ilham para malaikat muqarrabin di dalam keadaan afiat, wahai Tuhan yang maha Pengasih dari segala yang lain yang mengasihani.


Ya Allah, lapangkanlah bagi mereka dada-dada mereka, dan permudahkanlah bagi mereka urusan-urusan mereka, dan kurniakanlah taufiq dan hidayah kepada mereka, dan luruskanlah mereka dan kumpulkan bagi mereka di antara perkara yang betul dan perkara yang berpahala, dan lindungilah mereka daripada membuat kesalahan terlarang daripada mendapat nikmat dan lupa.


Ya Allah, terangilah cahaya pada hati-hati mereka dengan cahaya hidayatMu, sebagaimana Engkau terangi bumi dengan cahaya matahari Mu, dan bukakanlah pintu kemenangan kepada mereka dengan kemenangan yang dekat , wahai Tuhan yang Maha Pemberi keputusan, wahai Tuhan yang Maha Mengetahui.


Ya Allah, Keluarkanlah mereka daripada kesamaran dan muliakanlah mereka dengan cahaya kefahaman, dan bukakanlah kepada mereka pintu-pintu ilmu, dan hiasilah mereka dengan akhlak yang baik dan sopan santun, dan jauhkanlah mereka daripada kemungkaran akhlak, perbuatan hawa nafsu, dan penyakit, dengan rahmat Mu Tuhan yang Maha Pengasih dari segala yang lain yang mengasihani.


Dan Allah telah berselawat ke atas Sayyidina Muhammad dan ke atas ahli keluarga baginda dan para sahabat sekalian, dan segala puji-pujian bagi Allah Tuhan seru sekalian alam.